Penangguhan Penghantaran Tarikh : 26 Mei - 6 Jun 2023

Cik Andam Gojes Expand

Cik Andam Gojes

Kaseh Aries Publication Kaseh Aries Publication

CN

New

Penulis : Azizah Ami

More details

RM28.00

Tajuk : Cik Andam Gojes
Penulis : Azizah Ami
Harga : RM28.00
ISBN : 9789672035589

Sinopsis
TERSEDAK Rinie tatkala Alif membawa seseorang ke rumah untuk diperkenalkan padanya. Macamlah dia tak kenal dengan Abu tu. Setiap kali dia ke bengkel, mata lelaki itu galak memandang daripada atas ke bawah. Gatal bukan main! "Keluarlah berkenalan dengan dia." Alif memaksa. "Abang Long tak nampak ke Rinie tengah makan tengah hari ni? Abang Long pergilah layan dia. Suruh Rinie pula dah," rungut Rinie lalu meneguk air kosong dengan laju. Arin dah menggeleng geram. "Lepas makan, Abang Long nak Rinie jumpa kawan Abang Long tu. Kalau tak, siap Rinie!" Jari telunjuk tepat mengenai hidung Rinie. Eleh, macamlah aku takut sangat.

Abang Long aku ni...kalau tak cari pasal dengan Kak Long, dia cari pasal dengan aku pula. Kalaulah dia tu adik aku, memang dah lama aku tomoikan muka dia! Geram Rinie. "Cepat sikit makan!" Tegas Alif. Terhenjut tubuh Rinie. Kuat betul suara Alif. "Kak Long..." Menjuih bibir Rinie. Arin buat isyarat agar Rinie bertenang seketika. Sebaik sahaja Alif keluar daripada dapur itu, segera Arin merapati Rinie. "Makan lekas, lepas tu Rinie keluar ikut pintu belakang. Motor Kak Long ada kat tepi rumah. Nanti Kak Long ambilkan kunci." Cadangan Arin buat Rinie bersyukur sangat-sangat kerana dianugerahkan kakak ipar sebaik itu. Bukan sahaja baik, cantik dan bijak pula tu! Kontra sangat dengan Abang Long dia. Rinie menyarung tudung dan kemudian keluar dengan membawa topi keledar milik Arin.

Sempat lagi dia peluk kakak iparnya itu sebelum keluar daripada rumah. Motor Arin ditolak perlahan-lahan sehinggalah tiba di simpang masuk rumah mereka. Rinie gelak sendiri. Dah macam apa je Abang Long aku tu. Sesuka hati dia je nak menjodohkan aku. Dia dulu tu, tahu pula cari sendiri! Desis hati Rinie. Dia menunggang motor dengan senyuman melebar di wajah. Alangalang dah keluar baik dia terus ke rumah Hannan. Alif masuk semula ke dapur. "Mana Rinie?" Kepalanya menjengah ke luar rumah. Arin tenang sahaja memandang suaminya.

Lega hati dia Rinie sempat keluar sebelum Alif masuk semula ke dapur. "Pergi beli gulalah. Kan gula dah habis." Arin menjawab tanpa memandang suaminya. "Aik! Baru semalam abang beli tiga bungkus. Takkan dah habis? Mandi gula ke apa?" Berkerut dahi Alif. "Eh, iya ke? Tak ada pun?" Pandai betul Arin berlakon. Walhal, dia yang sorok gula tu dalam periuk sebaik sahaja Rinie menyusup keluar. "Sekejap nanti baliklah tu." Arin terus angkat air kopi ke depan. "Tu, ada pula gula?" Jari menuding pada seteko air kopi yang ditatang oleh Arin. "Ni je yang tinggal. Habis tu, kita nanti tak payah guna gula ke?" Terjongket kening Arin. "Tak payah. Kencing manis!" jeling Alif lalu mengekori isterinya ke ruang tamu. "Jemput minum Abu. Kak Arin nak ke dapur. Ada kerja sikit."

Senyuman manis dihidangkan pada tetamu mereka. Abu tertinjau-tinjau matanya ke dapur. Dia harapkan Rinie yang keluar tapi bukan. Kecewa pula rasanya bila wajah dambaan hati tak muncul di depan mata. "Ya, kak." Abu tersenyum tawar. Arin kembali ke dapur dengan senyuman lucu. Boleh dilihat dengan jelas riak kecewa Abu tadi. Padan muka. Padan muka dengan laki aku sekali! Topi keledar ditarik agar lebih ketat sementara menunggu lampu isyarat bertukar warna hijau. Rinie menyanyi kecil lalu menoleh ke sebelah kanan.

"Erk!" Rinie teguk liur. Hisham hanya memandang tanpa senyuman. James yang berada di tempat duduk pemandu mengangkat tangan pada Rinie. "Cik andam gorgeous kaulah, Hisham…" bisik James. Tajam Hisham menjeling. Bertuah punya James. Tak payahlah cakap begitu depan Suraya. Saja je nak cipta kontroversi. Tak ada kerja sangat dah agaknya. Suraya mengulum senyuman. Eleh, ingat dia tak perasan ke? Selalu sangat dia nampak Hisham mencuri pandang wajah Rinie. Saja je Suraya buat tak tahu. Tiba-tiba cermin bahagian belakang turun secara automatik. "Rinie, nak ke mana?" tegur Suraya ramah. "Tengah larikan diri." Rinie gelak kecil. Teringat pula akan Alif di rumah. Jangan dia jadi Hulk sudah bila perasan yang Rinie dah lesap.

Berkerut dahi Hisham. Amboi, pandai pula budak ni nak larikan diri. Entah motor siapalah yang dia rembat. Dia merenung Rinie yang tersengih-sengih pada Suraya. "Jom makan McD depan sana tu!" ajak Suraya dan tak menunggu lama, Rinie pantas mengangguk. Rezeki jangan ditolak, bak kata orang dulu-dulu. Lampu isyarat bertukar hijau dan Rinie memecut motosikalnya. Terkebil-kebil mata Hisham ketika itu. Macam tak percaya Rinie boleh memecut sebegitu. "Tak sabar nak makan dengan Hisham kut," usik Suraya. Berdekah-dekah James dan Suraya memandang muka Hisham yang sudah merah padam.

"Seronoknya Abang Hisham kita hari ni. Boleh makan burger dengan Adik Rinie tersayang." Bukan main galak lagi James kenakan Hisham. Sepatah pun Hisham tak menjawab. Kurang asam kau, James! Sampai sahaja di restoran makanan segera itu, segera Suraya menarik tangan Rinie masuk ke dalam. "Eh, jap. Rinie nak makan apa?" tanya Suraya. "Double cheese burger," jawab Rinie. "Okay, Suraya pula nak macam biasa ya? Big mac. Kita orang naik ke atas dulu tau?" Suraya terus menapak ke tingkat atas bersama-sama Rinie.

Rinie memandang wajah Suraya. "Kenapa?" tanya Suraya lalu tertawa halus. "Anak jutawan pun layan McD ke?" Soalan Rinie buat Suraya gelak besar. "Mestilah! Tekak ni bukan tahu dia jutawan ataupun tidak. Saya suka makan apa sahaja yang sedap. Street food lagi saya suka!" Suraya tersenyum manis. Rinie angkat ibu jari. Bagus Suraya ni. "Psstt... sebenarnya James nak makan sangat. Itulah saya belanja. Macam Hisham, dia tak berapa suka makanan segera macam ni. Dia lebih suka lauk kampung. Kalau tak percaya, Rinie tengok nanti. Dia tak akan beli apa-apa," bisik Suraya. Rinie terangguk-angguk.

Tak berapa lama kemudian, Hisham dan James tiba dengan dulang berisi beberapa biji burger dan makanan lain. Setelah dibahagikan, ternyata kata-kata Suraya benar. Hisham tak beli apa pun! "Sebenarnya saya baru je makan kat rumah tapi baru makan sikit saya terpaksa stop." Rinie picit sos ke atas daging burger. "Kenapa?" tanya James. Air bikarbonat disedut perlahan. "Abang Long bawa Abu nak jodohkan dengan saya. Tak mahulah!" Rinie mengeleman. Marah betul bila terkenangkan sikap Alif.

Hisham hanya memasang telinga. Dia duduk bersandar sambil merenung Rinie. Melihat Rinie menganga untuk makan burger buat dia mengulum senyum. Mata Rinie pantas menangkap senyuman Hisham. Serta-merta wajahnya berona kemerahan. Tak jadi terus dia nak gigit burger di tangan. "Kenapa senyum macam tu?" Berkerut dahi Rinie. Hisham tak menjawab. Perasan pula dia… "La, baru perasan ke yang Hisham suka senyum bila kau tak pandang dia? Bila kau pandang, senyuman dia serta-merta hilang entah ke mana. Macam wap!" James gelak kecil. Rinie senyum nipis. "Kenapa tak suka dengan Abu tu?" Tiba-tiba Hisham menyoal. Rinie angkat kening. "Uish, ada suara rupanya!" Ayat Rinie buat James dan Suraya ketawa besar.

Berani betul Rinie tanya macam tu. Hisham merenung. Tiba-tiba lidah Rinie jadi kelu. Pandangan Hisham tu macam jarum halus yang tepat mengenai kornea matanya sebelum tembus menuju ke hati. "Er... saya tak suka sebab saya tak sukalah. Cinta mana boleh dipaksa-paksa." Rinie tundukkan pandangan buat seketika. Hisham mengangguk. "Habis tu, suka lelaki macam mana?" Sekali lagi Hisham lontarkan soalan. Rinie kerutkan kening. Banyak pula soalan yang dia kena jawab. Takkanlah nak cakap lelaki macam Hisham! Jatuh saham wooo... "Penting ke nak tahu?" tanya Rinie pula. Hisham ke hadapankan tubuhnya. Pandangan dia pegun pada wajah Rinie. Haih, kali ini Rinie dah tak upaya nak berlagak tenang lagi.

Lelaki di hadapan dia tu kuat betul menggoda. Sepasang mata milik Hisham selalu buat Rinie bagai berada dalam bahaya. Bukan bahaya yang biasa-biasa pula tu.

"Jangan pandang macam tu boleh tak?" Sengaja Rinie bulatkan matanya. "Tak boleh." Ringkas jawapan Hisham. Rinie sengetkan tubuh dan terus makan burger di tangan tanpa mempedulikan renungan Hisham lagi.

Kaseh Aries Publication

Write a review

Miss Cleaner Undercover

Penulis : Fateen Najwa